Friday, February 25, 2011

SEJARAH GERIK

Dari catatan sejarah, orang yang mula-mula membuka Gerik ialah Tun Saban iaitu anak Tun Perak, bendahara Kesultanan Melaka pada awal kurun ke-16. Semasa kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis, Tun Saban berhijrah ke Hulu Patani dan kemudian berpindah ke Belum, Gerik. Beliau menjadi ketua masyarakat di Belum.
Gerik bersempadan dengan Negeri Reman di utara. Raja Reman menceroboh masuk ke Gerik dan menawan Klian Intan dan Kroh (Pengkalan Hulu). Menjelang kurun ke-19, sebahagian besar daerah Gerik telah ditakluki oleh Raja Reman. Pada tahun 1902, sistem pemerintahan beraja di Reman telah dihapuskan oleh kerajaan Siam dan daerah Gerik menjadi jajahannya.
Pada 9 Julai 1902, kerajaan Siam telah membuat perjanjian dengan kerajaan Inggeris untuk menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Sir John Anderson (Gabenor Negeri-negeri Selat) dan Setiausaha Luar Negeri Siam. Antara syarat dalam perjanjian itu, kerajaan Siam hendaklah juga menyerahkan balik daerah Gerik yang telah diambil oleh Raja Reman dahulu kepada kerajaan negeri Perak. Istiadat penyerahan daerah Gerik itu telah berlangsung di Kroh pada 16 Julai 1909.

Asal-usul nama

Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat sekarang yang bernama Gerik itu masih diliputi hutan belantara dan masih terletak bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai, lalu meneroka hutan di kuala sungai tersebut bagi dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tuan bernama Tok 'Ad (Tok Sa'ad).
Tidak berapa lama selepas itu, Raja Reman yang bernama Tuan Jagong datang berburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tidak jauh dari situ ada kampung orang terletak di tengah-tengah hutan.
Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda mendengar suatu bunyi yang ganjil terbit dari perdu serumpun buluh. Baginda memerintahkan supaya dipagar keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orangnya menggali di situ untuk mengetahui apakah benda yang mengeluarkan bunyi yang ganjil itu.
Setelah habis digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan sedang menggerit umbi buluh. Oleh kerana umbi buluh itu sangat keras, maka terbitlah bunyi yang berkerit-kerit apabila digerit oleh dekan-dekan itu.
Raja Reman telah menamakan tempat itu Kampung Gerit. Sebutan 'Gerit' itu telah digunakan beberapa lama dan kemudiannya sebutan dan ejaannya diubah daripada 'Gerit' menjadi 'Grik', kemudian menjadi 'Gerik' seperti yang digunakan sekarang.

dekan : sejenis haiwan seakan-akan tikus; masih boleh ditemui di hutan Belum.

Gerik Kini

Sekarang Gerik telah membangun dengan pesat dan banyak kemudahan, bangunan-bangunan kedai, pusat membeli belah, serta kawasan-kawasan perumahan baru telah wujud. Gerik terletak di tengah-tengah lebuh raya yang menghubungkan Butterworth dan Kota Bharu.

1 comment:

  1. Nasib dekan keluarkan bunyi gerik,,, klau bnyi yg lagi pelik,,, lagi susah kita nak sebut agaknya...

    ReplyDelete